Pages

Tuesday 13 December 2011

Sejarah pertandingan Piala Emas Raja-Raja

Khas artikel ini kepada sesiapa yang bertanya mengenai sejarah penganjurannya.
Kejohanan Piala Emas Sultan-Sultan telah mula diadakan pada tahun 1922 iaitu semasa lawatan Yang Teramat Mulia Raja Muda Inggeris (Prince of Wales) ke sebelah timur termasuk Tanah Melayu dan Singapura. Berbagai-bagai acara sambutan telah diadakan termasuk Pertandingan Bolasepak Melayu tajaan 'Malaya/Borneo Exhibition' yang telah diadakan selama dua minggu di Singapura. 10 buah pasukan negeri telah... mengambil bahagian iaitu pasukan-pasukan Melayu daripada Singapura, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Negeri Pahang dan Perlis tidak mengambil bahagian. Dalam Perlawanan akhir pasukan Kedah telah berjaya menjadi johan dengan mengalahkan pasukan Johor dan menerima Piala Emas yang dipertandingkan.

Pertandingan tersebut telah diteruskan lagi pada tahun 1923 di bawah anjuran Malayan Agri-Horticultural Association (MAHA) bertempat di Kuala Lumpur. Pada edisi kali ini pertandingan itu hanya terbuka kepada empat buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federal Malay States) bagi merebut sebuah piala perak yang dikurniakan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Sungguhpun pertandingan itu terbuka kepada empat buah negeri Melayu Bersekutu tetapi Pahang tidak dapat turut serta mengambil bahagian. Selangor telah berjaya memenangi piala tersebut selama tiga tahun berturut-turut mulai 1923 hingga 1925 dan menurut peraturan pertandingan, piala itu menjadi milik pasukan Selangor dan tidak dipertandingkan lagi.

Sebagai gantinya pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Perak, Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah Kudusullah, KDYMM Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Atikullah, KDYMM Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abdullah dan KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad iaitu Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu Negeri-Negeri Bersekutu telah menghadiahkan sebuah lagi piala baharu yang dinamakan PIALA EMAS SULTAN-SULTAN.

Selama 12 tahun Piala Emas Sultan-Sultan menjadi rebutan iaitu daripada tahun 1926 sehingga 1938. Pihak penaja Malayan Agri-Horticultural Association telah dapat mengadakan enam edisi pertandingan sahaja iaitu pada tahun 1926, 1927, 1928, 1930, 1935 dan 1938. Selepas penubuhan Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung maka, Pertandingan Piala Emas Sultan-Sultan telah dipulihkan semula dengan disertai oleh semua negeri Tanah Melayu dan Singapura sehingga kini.
Sumber:https://www.facebook.com/add_email.php#!/PBMelayuKedah