Pages

Monday 12 December 2011

Piala Sumbangsih Perlukan Format Yang Konkrit.

Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah mula diperkenalkan pada tahun 1985 dengan menemukan juara Piala Malaysia 1984, Selangor serta naib juara liga 1984 Pahang.(Selangor juga merupakan juara liga pada tahun 1984).

Sepanjang tempoh daripada ia mula dipertandingkan sehingga kini pelbagai format telah digunapakai dalam perebutan piala ini. Selepas format menemukan juara Piala Malaysia serta juara liga dipraktikkan daripada tahun 1985 hingga tahun 1992, pada tahun 1993 format Piala Sumbangsih telah ditukar. Kali ini menemukan juara Piala Malaysia menentang juara Piala FA.
Alasan perubahan format ini supaya setiap pasukan bersungguh-sungguh didalam pertandingan Piala FA yang pada ketika itu dianggap pertandingan kelas 2.

Bermula pada tahun 2002, Piala Sumbangsih telah dilangsungkan sekali dengan kejohanan liga yang bermakna dalam perlawanan ini, mata akan dikira didalam liga berdasarkan keputusan 90 minit tempoh permainan.

Setelah agak lama menggunakan format menemukan menemukan juara Piala Malaysia menentang juara Piala FA, pada tahun 2011 ia sekali lagi telah dipinda. Kali ini menemukan kembali juara Piala Malaysia menentang juara Liga Super. Ia ditukar dengan alasan mengikut ketetapan oleh FIFA supaya menggangkat taraf pertandingan liga lebih tinggi daripada pertandingan Piala FA. Semoga format ini kekal dan tidak berubah lagi selepas ini. Namun beberapa perubahan perlu dilakukan demi memastikan Piala Sumbangsih ini kekal berprestij serta memberikan keadilan buat semua pasukan yang merebut piala ini.

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Pertandingan FAM ialah, Piala Sumbangsih perlu diasingkan daripada perlawanan liga bagi memberikan prestij kepada Piala Sumbangsih itu sendiri. Piala Sumbangsih tidak perlu "menumpang" kepada pertandingan lain. Ia seharusnya dilangsungkan secara berasingan daripada kejohanan liga.

EPL, liga yang terawal mempraktikkan Piala Sumbangsih disekalikan dengan perlawanan liga turut menukar kembali format dengan mengasingkan ia kembali daripada perlawanan liga kerana ianya tidak praktikal. Sekiranya juara Piala FA terdiri daripada pasukan Division lain, sudah pasti perlawanan Piala Sumbangsih tidak dapat disekalikan dalam perlawanan Liga Perdana (EPL). Atas alasan itu, format tersebut tidak digunapakai lagi kerana mereka telah nampak kelemahan dalam format tersebut.

Perkara yang sama juga boleh berlaku di Malaysia. Masalah akan timbul sekiranya juara Piala Malaysia terdiri daripada pasukan Liga Premier yang tidak dinaikkan bahagian ataupun daripada pasukan yang diturunkan bahagian dalam Liga Super. Walaupun kemungkinan ini amat tipis berlaku, tetapi ia tidak mustahil. Bak kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan", janganlah nanti apabila berlaku perkara seperti ini, format pertandingan yang sedia ada hendak dirombak kembali. Format yang konkrit ataupun kukuh perlu wujud dari sekarang untuk mengelakkan suara-suara sumbang yang mengkritik perjalanan piala ini. Format yang konkrit juga adalah asas profesionalisme sesuatu kejohanan. Sekiranya ia kerap bertukar (kerana tiadanya format yang konkrit) ia menampakkan kelemahan pengurusan didalam pengendalian sesuatu kejohanan.

Bagi gelanggang perlawanan Piala Sumbangsih sebelum ini ia dilangsungkan digelanggang berkecuali. Memang diakui, penonton begitu berkurangan sekiranya ia dilangsungkan digelanggang berkecuali. Dan disebabkan itu pada masa kini perlawanan Piala Sumbangsih dilangsungkan digelanggang salah satu pasukan yang bertanding. Tetapi apa yang sering diperkatakan oleh peminat bolasepak tempatan ia tentunya akan mewujudkan satu situasi "ketidakadilan" disini. Sudah menjadi lumrah tuan rumah akan mempunyai beberapa kelebihan tertentu.

Bagi mengatasi masalah ini, Jawatankuasa Pertandingan FAM harus mencontohi Serie A (Itali) ataupun La Liga (Sepanyol). Perlawanan pembuka tirai (Piala Sumbangsih) dinegara berkenaan dijalankan secara timbal balik, dengan pemenang akan ditentukan melalui aggregat dalam 2 perlawanan tersebut. Ia lebih adil buat pasukan yang merebut kejuaraan ini.

Sekadar cadangan penulis agar prestij Piala Sumbangsih ataupun Piala Sultan Ahmad Shah mampu ditingkatkan pada masa akan datang.

Penulis : Arieost Azzurie