Pages

Thursday 1 December 2011

Masalah misteri Nazmi Faiz Mansor

Institut Sukan Negara (ISN) akan menjalankan beberapa ujian ke atas pemain muda berbakat, Muhamad Nazmi Faiz Mansor bagi mengenalpasti 'masalah misteri' kekejangan otot yang membelenggu pemain itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ramlan Abd Aziz berkata, pihaknya akan meminta pemain Harimau Muda itu untuk menjalani pemeriksaan lengkap yang merangkumi aspek kesihatan, fisiologikal dan biokimia dalam tempoh terdekat.
"ISN telah dimaklumkan oleh jurulatih Ong Kim Swee mengenai masalah yang dialami Nazmi dan kami akan memanggil untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh.
"Biarlah Nazmi mendapat rehat secukupnya terlebih dahulu.
"Ada banyak kemungkinan berhubung masalah itu, namun untuk mengenalpasti masalah sebenar, ISN perlu menjalankan kajian berdasarkan hasil laporan pemeriksaan.
Menurut Dr. Ramlan, masalah itu bagaimanapun bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini ISN pernah dirujuk masalah seumpama yang berlaku ke atas beberapa pemain pelapis badminton dan hoki.
"Ia bukannya satu penyakit dan bukan untuk dirawat. ISN yakin dapat mencari punca sebenar masalah tersebut dan mengatasinya.
"Pada masa sama, janganlah kita terlalu mengharap dan menjangka daripada Nazmi, hakikatnya dia masih sangat muda," ujarnya.
Dr. Ramlan berkata, sebaik proses tersebut selesai ISN akan menyerahkan laporan kepada jurulatih di samping mengemukakan beberapa syor bagi mengatasi masalah Nazmi. 

Aksi beliau di Sukan Sea 2011 dan Kelayakan Olimpik  dipuji
petikan akhbar  Utusan Malaysia 01.12.11