Pages

Wednesday 7 December 2011

Realiti Pembangunan Akar Umbi Bolasepak Malaysia

Hendak seribu daya tak hendak seribu upaya. Seringkali kita diajar peribahasa tersebut dalam apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan agar berjaya pada masa kelak. Apakah kaitan peribahasa ini dengan pembangunan sukan bolasepak di peringkat akar umbi? Mari kita kupas tajuk ini.

Mentaliti para guru di sekolah perlu diubah! Mengapa penulis berkata demikian? Ya, bayangkanlah para jurulatih yang juga guru terpaksa menerima arahan pengetua/guru besar agar tamat sahaja liga bola daerah, maka sesi latihan juga ditamatkan dengan alasan ingin menumpukan perhatian pemain kepada pelajaran pula. Mengapa perlu ada kaitan yang tidak tepat dalam hal ini? Adakah para pemain remaja ini mendapat perlawanan yang kompetetif yang hanya sebanyak 8-10 perlawanan selama 2 bulan kejohanan ini akan meningkat kualiti permainan mereka sedangkan pemain remaja di Eropah mendapat jumlah perlawanan seperti pemain pro dewasa?

Adakah dengan menamatkan sesi latihan yang kebiasaannya dijalankan pada waktu petang yakni jam 5 petang sehingga sebelum waktu Maghrib, para pemain bola akan menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran? Rasanya 90% pemain yang juga pelajar sekolah yang sedang membaca artikel ini akan mengatakan TIDAK! Mengapa menjawab tidak, sudah tentu mana ada orang belajar petang-petang disaat waktu itu adalah waktu untuk beriadah. Jangan sempitkan fikiran dengan menyuruh mereka belajar waktu petang kerana dalam masa yang sama, anda sedang memberi tekanan yang hebat kepada diri remaja.

Para pengetua/guru besar juga sebenarnya tidak serius dalam membangunkan sukan terutamanya sukan bolasepak. Para jurulatih yang ingin menjalankan latihan awal sebagai persediaan menghadapi kejohanan bola akan dilarang berbuat demikian dengan alasan dapat surat daripada Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) baru boleh memulakan latihan dan jangan ganggu pelajar belajar. Mengapa perlu jadi begini? Berilah peluang kepada jurulatih untuk membentuk pasukan yang mantap bagi mengharumkan nama sekolah. Akedemik tanpa Kokurikulum adalah ibarat makanan tanpa minuman, tak lengkap!

Sikap sesetangah guru Pendidikan Jasmani(PJ) juga perlu diubah. Lihatlah ketika waktu PJ sedang berjalan, murid sedang bermain bola di padang sementara guru PJ begitu gah bersembang dengan rakan yang lain di kantin sekolah. Habis waktu PJ datang bagi arahan suruh berhenti . Hanya setakat itu sahaja. Lebih baik jika dapat turun sekali bermain sambil dalam masa yang sama dapat memberi tunjuk ajar yang berguna kepada murid. Mungkin Nampak remeh tetapi pengajaran bukan hanya setakat membuka buku teks malahan lebih daripada itu.




Sementara itu ,FAM mungkin sudah boleh mengorak langkah dengan mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap kelayakan jurulatih bolasepak sekolah. FAM dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menguatkuasakan peraturan yang mengsyaratkan para jurulatih bolasepak sekolah perlu sekurang-kurangnya mempunyai lesen kejurulatihan kelas C. Ini perlu bagi memastikan apa yang dilatih oleh jurulatih itu sendiri menepati piawaian jurulatih yang bagus agar para pemain remaja yang menerima tunjuk ajar jurulatih tidak mendapat ilmu yang salah dalam bolasepak.

Bayangkan jika pemain remaja mendapat jurulatih yang tidak mempunyai lesen, mereka hanya akan mendengar jurulatih memberi arahan saling tak tumpah ala-ala jurulatih Barcalona agar bermain taktik ‘tika-taka’ namun tidak diamalkan dalam latihan kerana tidak tahu bagaimana untuk disusun formasi untuk memastikan apa yang dicakap dilaksanakan. Apabila datang perlawanan betul, gagal untuk diterjemahkan kerana hanya gah bercakap tanpa dilaksanakan gara-gara tiada ilmu kejurulatihan.

Jika perkara ini dilaksanakan, tidak mustahil bakal lahir satu lagi generasi pemain-pemain yang berbakat pada masa akan datang tetapi dengan syarat perkara ini perlu diambil serius. Mungkin langkah kita ini tidak akan membuahkan hasil untuk jangka masa yang pendek, tetapi mungkin untuk jangka masa yang panjang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu bukan.Sekadar pendapat peribadi.

Foto: Kedah Kenari Kids Langkawi
Penulis:Pecinta Bola