Pages

Thursday, 16 August 2012

Analisis Pasukan N.Sembilan


Pasukan : N.Sembilan
Pengurus pasukan : Abdul Halim Abdul Latif
Jurulatih : Azraai Khor Abdullah
Pemain Pinjaman : Azmeer Yusof (POS), Khairul Izwan Abdullah (PDRM), K.Thanaraj (SAB)
Ramalan : Dijangka mampu melepasi peringkat kumpulan tetapi bakal berdepan ujian sukar diperingkat suku akhir.
Analisis Pasukan :
                Telah tiga musim beturut-turut pasukan N.Sembilan tidak menunjukkan prestasi yang baik didalam saingan Liga Super namun mereka masih mampu mara ke final Piala Malaysia dalam tiga tahun tersebut serta menjuarai dua daripadanya. Tahun ini Azraai pastinya sedar akan “kelebihan” yang dimiliki oleh anak buahnya dalam merencanakan strategi terbaik untuk memerangkap lawan. Azraai dilihat bertindak bijak apabila menjadikan pentas Piala Malaysia sebagai medan untuk memperbaiki segala aspek kelemahan pasukan bimbingannya yang telah dikesan didalam saingan Liga Super mahupun Piala FA. Selain itu beliau juga dilihat tidak gentar mengambil risiko untuk mencuba formula baru. Para pemerhati bolasepak tempatan tentunya masih ingat dalam final Piala Malaysia tahun lepas apabila Azraai mengetepikan Firdaus Azizul dalam kesebelasan utama dan meletakkan Shukor Adan sebagai “back up” striker kepada Hairudin Omar. Sebelum itu pada perlawanan peringkat kumpulan Azraai pernah meletakkan Kunanlan sebagai pemain bek kiri dan ia dianggap antara strategi “pelik” tetapi cukup berkesan untuk mengelirukan lawan. Namun Kunanlan akhirnya kembali beraksi diposisi sayap kiri semasa peringkat suku akhir dan terus ke final. Itu cerita musim lepas, untuk musim ini penulis begitu teruja untuk menyaksikan formula baru yang dibawakan oleh Azraai dalam misi pasukan N.Sembilan mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.
                Untuk musim ini bagi posisi penjaga gol, sayap serta serangan skuad rusa dilihat tidak mempunyai banyak masalah. Posisi yang dilihat agak bermasalah ialah pertahanan serta midfield. Kecederaan Norhafiz cukup dirasakan oleh pasukan N.Sembilan. Kelibat Shukor begitu ditagih untuk membantu bahagian pertahanan dan ini mengakibatkan midfield  N.Sembilan ketiadaan jeneral yang berpengaruh dibahagian tersebut. Idris sudah dimamah usia, dan permainannya dilihat agak negatif apabila sering menghantar bola kebelakang dan perkara ini tidak seharusnya diamalkan oleh pemain perancang sepertinya. Rashid pula lebih efektif bermain dipertahanan tengah berbanding dibahagian midfield  kerana hantarannya seringkali gagal sampai kepada barisan serangan. Mungkin pilihan terbaik yang ada pada Azraai dibahagian midfield dengan menukar kembali posisi Norismaidham  dari pertahanan kanan ke posisi tersebut selain mengharapkan Qairul sempat cergas untuk digandingkan dengannya. Halim Zainal mungkin boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan ia terbukti agak berkesan ketika N.Sembilan melayan Kelantan dalam saingan Liga Super tempohari. Alternatif lain dibahagian midfield ialah pemain muda seperti Bukhairi Idris. Pemain muda sepertinya boleh membantu dengan syarat mendapat sokongan daripada rakan sepasukan yang lebih senior.
                Masalah terbesar skuad N.Sembilan sudah semestinya dibarisan pertahanan. Walaupun Shukor ditukarkan ke posisi pertahanan untuk digandingan dengan Farbak ia masih tidak mampu untuk menutup kelemahan tersebut. Strategi perangkap offside yang diamalkan oleh pertahanan skuad rusa sejak akhir-akhir ini dilihat cukup berisiko. Manakan tidak, jika pembantu pemgadil “terleka” ia turut boleh memberikan padah kepada pasukan. Azraai perlu menilai kembali lawan yang boleh digunakan perangkap offside tersebut serta lawan yang yang tidak sesuai untuk digunakan perangkap offside dalam permainan.
                Akhir sekali di barisan serangan, kehadiran penjaring terbanyak Liga Premier, Khairul Izwan dilihat bakal memberikan impak terhadap pasukan. Tidak mustahil Azraai akan menggunakan 3 orang pemain serangan ataupun beliau akan meletakkan Khairul Izwan diposisi sayap ataupun “acctaking midfielder”. Pemain yang dipinjam dari Sabah, K.Thanaraj juga cukup berkesan bermain dibahagian sayap dan ia mampu mengurangkan daripada terlalu bergantung terhadap Kunanlan serta Shahruain.Gandingan Effa serta Shakir masih dianggap sebagai gandingan terbaik, sambil Firdaus Azizul boleh menjadi alternatif sekiranya berlaku sesuatu terhadap gandingan tersebut. Selain itu  beberapa pemain terutamanya Shahruain perlu lebih tenang dihadapan gol pihak lawan kerana semasa aksi Liga Super deretan peluang banyak disia-siakan kerana kegopohan pemain dan ia sememangnya merugikan pasukan.
                Sentuhan “magis”Azraai Khor sekali lagi ditagih oleh penyokong N.Sembilan bagi mencipta satu lagi kegemilangan dengan mengekalkan Piala Malaysia dibumi adat perpatih.

Penulis : Arieost Azzurie