Pages

Sunday 19 August 2012

Analisis Pasukan Kedah


Pasukan : Kedah
Pengurus pasukan : Datuk Khazali Din
Jurulatih : Marijo Tot
Pemain Pinjaman : Sabri Sahar (SAB), Redzuwan Nawi (USM), Mohd Asri Mardzuki (HMB)
Ramalan : Dianggap sebagai pasukan yang paling lemah dalam kumpulan B. Tetapi keadaan ini boleh memberikan kelebihan buat pasukan Kedah yang bermain tanpa tekanan. Jika pasukan ini bebas dari senarai kecederaan, tidak mustahil Kedah mampu melakarkan kejutan didalam Kumpulan B yang digelar “kumpulan maut”.
Analisis Pasukan :
                Walaupun dibarisi oleh rata-rata pemain berpengalaman serta pemain kebangsaan tetapi ia masih tidak mampu menggelakkan pasukan Kedah daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan. Masalah penggantungan Wan Jamak diawal musim selain masalah kecederaan dan di tambah lagi dengan masalah dalaman sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan ini.
                Pertandingan Piala Malaysia dianggap sebagai pentas untuk pasukan Kedah menebus kembali kehampaan tersebut. Pasukan ini sebenarnya mempunyai kualiti untuk pergi lebih jauh. Kehadiran jurulatih dari Croatia, Marijo Tot menggantikan Wan Jamak dilihat sebagai satu usaha untuk memulihkan kembali maruah skuad hijau kuning . Sejauh mana keberkesanan taktikal Mario hanya akan teruji apabila saingan bermula nanti. Dikhabarkan formasi kegemaran jurulatih ini ialah 4-2-3-1, satu formasi yang menumpukan pada bahagian tengah dan ia dilihat agak secocok dengan barisan pemain Kedah yang ada sekarang. Sekiranya pemain seperti Amar, See Kok Luen, Baddrol, Safi, Khyrill serta Gerc  membarisi bahagian tengah serta serangan Kedah, ia dilihat cukup memberikan ancaman kepada pihak lawan. Namun seperti yang diulas sebelum ini, jika terdapat tonggak utama ini yang cedera atau tidak dapat beraksi ia bakal memberikan sedikit kesulitan buat pasukan Kedah. Barisan pemain simpanan Kedah walaupun berbakat tetapi mungkin atas faktor kurang pengalaman mereka tidak mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain senior. Hanya Syamim Alif pemain muda yang dilihat mampu mengisi tempat dalam kesebelasan utama dengan cukup berkesan.
                Sementara itu bagi posisi pertahanan, nama-nama seperti V.Thirumurugan, Fauzi Nan, Azmizi Azmi serta Khairul Helmi Johari dijangka bakal memguatkan benteng skuad hijau kuning didalam kempen Piala Malaysia kali ini. Persembahan barisan pertahanan Kedah sepanjang saingan Liga Super dilihat agak sederhana. Untuk menghadapi kempen paling berprestij seperti Piala Malaysia, pertahanan Kedah perlu lebih fokus menghadapi lawan kerana hanya aksi terbaik mampu menjamin kejayaan pasukan. Begitu juga bagi posisi penjaga gol, Helmi Eliza perlu lebih konsisten mengawal gawang kerana semasa saingan Liga Super banyak kesilapan mudah yang dilakukan sehinga merugikan pasukan. Penjaga gol kedua, Abdul Hadi adalah alternatif  terbaik sekiranya Helmi gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.
                Perlawanan pertama Kedah menentang ATM di Stadium Darulaman Rabu ini bakal memberikan gambaran awal terhadap pasukan bimbingan Marijo Tot. Kemenangan dalam perlawanan pertama lebih-lebih lagi bermain dihalaman sendiri adalah cukup penting bagi membakar semangat pemain untuk perlawanan seterusnya. Mampukah Marijo Tot membawa Kedah ke mercu kejayaan? Sama-sama kita nantikan.

Penulis : Arieost Azzurie