Pages

Friday 17 August 2012

Analisis Pasukan Johor.


Pasukan : Johor
Pengurus pasukan : Fandi Ahmad
Jurulatih : K.Sukumaran
Pemain Pinjaman : Shahriman Che Omar (USM), Mohd Ezaidy Khadar (MPM), Mohd Hadin Osman (HMB)
Ramalan :
                Dilihat agak sukar untuk bersaing dengan tiga pasukan dari Liga Super, tetapi tidak mustahil pasukan Johor boleh melakar kejutan untuk melangkah ke suku akhir.
Analisis Pasukan :
                Pada pertengahan musim pasukan Johor telah melakukan penjenamaan semula pasukan. PBNJ kini tampil dengan logo baru dan pasukan Johor mahu dikenali dengan gelaran “Harimau Selatan”. Presiden PBNJ, Tengku Ismail juga telah mengumumkan bahawa pasukan Johor akan lebih bernafsu pada musim hadapan dengan mendapatkan pemain import yang berkelas dunia serta beberapa orang pemain tempatan yang mempunyai reputasi yang hebat. Untuk permulaan PBNJ telah melantik lagenda bolasepak Singapura Fandi Ahmad sebagai pengurus pasukan manakala bekas pemain bintang Argentina, Gabriel Batistuta dilantik sebagai Penasihat Teknikal.
                Musim ini skuad johor diperkuatkan dengan dua orang bekas penjaga gol Harimau Muda iaitu K.Sasikumar serta Zulfadli Mohamed. Dengan kualiti yang dimiliki oleh mereka, gawang terakhir Johor dilihat agak stabil berbanding dengan musim lepas. Amat penting bagi setiap pasukan mempunyai penjaga gol yang berkaliber sekiranya ingin mencipta sesuatu impak dalam pertandingan yang berprestij seperti Piala Malaysia.
                Pertahanan Johor yang dikemudi ketua pasukan Nazrulerwan Makmor perlu lebih bekerja keras membimbing rakan-rakannya dibarisan pertahanan. Dari segi pengalaman pemain seperti Hamzani Omar, Ahmad Tharmini serta pemain pinjaman dari USM, Shahriman Che Omar cukup kaya dengan pengalaman. Pengalaman mereka cukup berguna didalam membimbing pemain-pemain muda dalam mengharungi perlawanan yang sememangnya cukup mencabar kerana mereka bakal berhadapan dengan penyerang yang berkemahiran tinggi seperti Arthuro Henrique (Johor Fc) serta Shahril Ishak (Lions Xii).
                Tonggak import dari Brazil, Andrezinho bakal mencorakkan permainan pasukan Johor dibahagian midfield. Pemain pinjaman dari MP Muar, Mohd Ezaidy Khadar dijangka akan turut memainkan peranan penting didalam kesebelasan utama. Dibahagian sayap, Munir Amran cukup lincah merobek kubu lawan dibahagian kiri. Pemain pinjaman dari Harimau Muda B, Mohd Hadin Osman juga boleh bertindak dibahagian sayap, dan beliau dijangka mampu menyumbang sesuatu didalam kempen Piala Malaysia kelak.
                Dibahagian serangan, kehadiran penyerang import Manuel Orlando banyak mengubah rentak pasukan ini. Jika dahulu Johor ketiadaan penyerang berbisa, namun kehadiran Orlando mengubah segalanya. Dia dianggap sebagai tulang belakang kebangkitan Johor musim ini. Namun begitu jika pasukan Johor ingin pergi lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia, mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada Orlando sahaja. Penyerang muda seperti Ahmad Syamim Yahya serta Yusri Abas perlu meningkatkan kualiti permainan masing-masing agar beban yang dipikul Orlando dapat dikurangkan seterusnya membentuk rangkaian serangan yang lebih berbisa.

Penulis : Arieost Azzurie