Pages

Friday 17 February 2012

Rumusan 16 Perlawanan Piala FA

Perak lwn ATM
Ibarat buku bertemu ruas, itulah yang boleh disimpulkan dalam perlawanan ini. Perak tampak lebih berbisa berbanding musim lepas Namun tewas 2 perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super sedikit merencatkan kebangkitan pasukan ini. Popovic masih lagi belum menunjukkan kualiti sebagai penyerang hebat, tetapi mujur aksi mantap Kubala dibahagian midfield banyak membantu  barisan pertahanan mahupun serangan.  Pemain seperti  Shahrulnizam serta Akmal boleh menjadi pemusnah kepada pasukan lawan andainya mereka diberikan ruang  untuk melakukan sesuatu. Manakala pasukan ATM ternyata telah membuktikan kemampuan pasukan ini sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga Premier apabila menjadi pendahulu Liga Premier hingga setakat ini. Kehebatan tonggak berpengalaman seperti Hairudin, Marlon, Irwan, Aidil banyak membantu pasukan ini mencipta keputusan yang positif.
Ramalan : ATM layak kepusingan kedua.

Terengganu lwn PDRM
Dibawah bimbingan Mat Zan, Terengganu meneruskan momentum musim lepas sebagai antara pasukan terkuat di Liga Malaysia. Dibarisi oleh ramai pemain yang berpengalaman bermain diperingkat antarabangsa seperti Sharbinee, Muslim, Marzuki, Joseph, Ashaari, Manaf, pasukan ini dilihat tidak mempunyai masalah untuk keperingkat seterusnya. PDRM bakal berdepan ujian getir bagi memastikan mereka tidak dimalukan dengan jaringan yang besar dalam perlawanan ini.
Ramalan : Terengganu layak kepusingan kedua.

Uitm lwn Lions Xii
Pertembungan antara 2 darjat. Uitm beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini sedangkan Lions Xii sehingga kini menduduki 4 tangga teratas dalam saingan Liga Super. Melihatkan kepada keadaan ini Lions Xii dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi pertemuan ini. Namun Uitm Fc pastinya mahu membuktikan bahawa mereka juga mampu menampilkan aksi terpuji untuk memberikan kesukaran kepada skuad dari seberang Tambak Johor ini.
Ramalan : Lions Xii layak kepusingan kedua.

NS Betaria lwn Melaka
NS Betaria dibawah bimbingan Azuan Zain kelihatan terumbang-ambing dalam perlawanan awal Liga Premier. Namun skuad ini menampakkan kebangkitan selepas berjaya mendapatkan 2 pemain import iaitu Michael Ijezie serta John Bamidele. Skuad Melaka kali ini pula diperkuatkan dengan 9 pemain yang membantu pasukan tersebut muncul naib juara Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini. Walaupun bermain di gelanggang NS Betaria, tetapi hakikatnya Stadium Hang Tuah juga merupakan gelanggang Melaka bagi menghadapi kempen Liga FAM musim ini, satu situasi yang agak unik dalam saingan Piala FA musim ini.
Ramalan : NS Betaria layak kepusingan kedua.

Pos Malaysia lwn USM Fc
Pertembungan antara 2 pasukan dari Liga Premier ini kelihatan agak seimbang. Pos Malaysia mempunyai jentera serangan yang agak digeruni dalam saingan Liga Premier, manakala USM Fc pula mempunyai pertahanan antara yang terbaik. Dalam pertemuan Liga Premier di Stadium USM baru-baru ini, skuad bimbingan S.Veloo iaitu USM Fc telah menewaskan pasukan Pos Malaysia dengan jaringan 2-1. Sudah pasti G.Torairaju serta anak-anak buahnya mahu membalas dendam diatas kekalahan tersebut dalam pertemuan kali ini.
Ramalan : USM Fc layak kepusingan kedua.

Sime Darby lwn Sabah
Selepas mengejutkan peminat bolasepak tempatan musim lalu apabila menafikan tempat Pahang dalam kancah Piala Malaysia, Sime Darby pasti mahu mengulangi pencapaian tersebut, kali ini dengan menyingkirkan 1 lagi pasukan dari Liga Super iaitu Sabah dalam saingan Piala FA pula. Tonggak berpengalaman seperti Hairul Nizam Hanif, Mohd Nor Ismail, Sengbah Kennedy dan Patrick Wleh pasti menjadi sandaran utama Ismail Zakaria bagi merealisasikan hajat tersebut. Manakala bagi pasukan Sabah pula, mereka kelihatan lebih mantap berbanding musim lalu, namun bermain digelanggang lawan bukanlah tugas mudah tambahan lagi menentang skuad yang penuh disiplin seperti Sime Darby.
Ramalan : Sabah layak kepusingan kedua.

N.Sembilan lwn Johor Fc
Perlawanan yang dijangka berlangsung sengit. Baik N.Sembilan mahupun Johor Fc, kedua pasukan ini telah memperkasakan pasukan masing-masing dengan melengkapkan kuota pemain import masing-masing. N.Sembilan mendapatkan Marian Farbak untuk mengukuhkan benteng skuad jang yang dilihat agak rapuh kebelakanganan ini. Manakala Johor Fc pula mendapat Fernando Abreu serta Arthuro Bernhardt yang bermain dibahagian pertahanan serta serangan.  Selain itu apa yang menarik, penyokong N.Sembilan sudah pasti begitu teruja untuk melihat aksi Fernando Abreu yang sebelum ini dikaitkan akan menyarung jersi skuad jang.
Ramalan : N.Sembilan layak kepusingan kedua.
Shahzan Muda lwn Selangor
Jika dilihat dari prestasi semasa, skuad Selangor sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepasi cabaran Shahzan Muda yang bertanding dalam saingan Liga FAM musim ini. Skuad Selangor berada dalam prestasi terbaik ketika ini seperti yang telah dibuktikan ketika menewaskan Kelantan dalam saingan Liga Super baru-baru ini. Kemasukan Basko Balaban ternyata telah memberi satu suntikan semangat terutamanya terhadap barisan serangan skuad Selangor. Namun harus diingat, dalam saingan kalah mati seperti Piala FA, kejutan akan sentiasa berlaku. Tidak mustahil skuad seperti Shahzan Muda boleh melakukan kejutan andainya lawan mengambil mudah pertemuan ini.
Ramalan : Selangor layak kepusingan kedua.

Kelantan lwn Sarawak
Satu lagi pertembungan menarik antara 2 pasukan dari Liga Super. Tekanan pasti lebih terarah buat Peter Butler serta anak-anak buahnya yang telah diberikan tanggungjawab untuk membawa Kelantan menjuarai saingan Piala FA musim ini. Jika pemain Sarawak bijak mengeksploitasi keadaan ini, tidak mustahil akan wujud satu keputusan mengejut dalam perlawanan ini.
Ramalan : Kelantan layak kepusingan kedua.

K.Lumpur lwn MP Muar
Walaupun K.Lumpur menduduki tangga tercorot dalam saingan Liga Super hingga setakat ini, tetapi skuad muda bimbingan  Razip Ismail ini boleh memberikan ancaman kepada pasukan dari Liga Premier seperti MP Muar. Perlawanan ini dilihat agak seimbang, namun K.Lumpur mempunyai sedikit kelebihan kerana cabaran bermain di Liga Super sedikit sebanyak membantu meningkatkan kualiti pemain muda K.Lumpur menghadapi perlawanan kalah mati seperti dalam kempen Piala FA ini.
Ramalan : K.Lumpur layak kepusingan kedua.

Preach Khan lwn P.Pinang
Penulis tidak pernah melihat aksi pasukan Preach Khan dari Kemboja, tetapi apabila melihat reputasi skuad ini sebagai juara liga Kemboja, sudah pasti cabaran pasukan ini wajar diberikan perhatian. Lawan pasukan  Prench Khan iaitu P.Pinang pasti berdepan cabaran getir menghadapi cabaran skuad dari Kemboja ini.  
Ramalan : Preach Khan layak kepusingan kedua.

KL SPA lwn MBJB
Walaupun baru bermain dalam saingan Liga Premier musim ini tetapi persembahan MBJB agak memuaskan dalam saingan tersebut. Bekas penyerang K.Lumpur, Azmi Sarmin pasti menjadi sandaran utama skuad ini bagi memburu jaringan. Bagi KL SPA, pasukan ini belum bermain lagi dalam saingan Liga FAM, ketiadaan perlawanan kompetatif pasti menyukarkan lagi pasukan dari Liga FAM seperti KL  SPA.
Ramalan : MBJB layak kepusingan kedua.

Kedah lwn PKNS
Kedah pasti berasa lega sebelum memulakan cabaran mereka dalam kempen Piala FA musim ini. Pertamanya jurulatih mereka, Wan Jamak telah kembali kepangkuan pasukan setelah digantung 7 perlawanan kerana mengkritik mutu pengadilan semasa cabaran Piala Malaysia musim lepas. Yang keduanya, persembahan pemain import terbaru mereka Abdelfatah Safi cukup menyakinkan dalam 2 perlawanan lepas. Namun cabaran PKNS juga tidak harus dipandang mudah. PKNS sebuah pasukan yang cukup berdisiplin dan cukup bijak ketika bertahan, sambil serangan balas mereka mampu mengejutkan lawan. Jika penjaga gol PKNS, Razi Effendi Suhit berada dalam prestasi terbaiknya, jentera serangan Kedah bakal berdepan tugas sukar untuk membolosi gawang PKNS. Kelebihan akan berpihak kepada PKNS andainya perlawanan ini ditentukan melalui sepakan penalti.
Ramalan : Kedah layak kepusingan kedua.

SDM Navy lwn  Perlis
Masalah dalaman PFA telah menyebabkan skuad Perlis seperti kehilangan arah. Namun diundi bertemu skuad dari Liga FAM dalam kempen Piala FA memberikan sedikit kelebihan buat pasukan Perlis memandangkan mereka telah melalui beberapa perlawanan kompetatif berbanding lawan mereka SDM Navy yang belum lagi memulakan saingan dalam Liga FAM.
Ramalan : Perlis layak kepusingan kedua.

Johor lwn T-Team
Skuad Johor masih lagi belum mampu menampilkan aksi konsisten dalam saingan Liga Premier walaupun skuad kali ini telah berjaya mendapatkan beberapa pemain berbakat seperti Munir Amran, Hamzani Omar, K.Sasikumar. selain pemain import Andrezinho serta Muriel Orlando. Manakala pasukan T-Team telah menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan dalam saingan Liga Super hingga setakat ini, dan kapten mereka iaitu Zairo telah muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 8 gol dalam 8 perlawanan. Selain itu aksi mantap Iqbal, Faiz serta Petric juga banyak membantu didalam kebangkitan T-Team hingga setakat ini.
Ramalan : T-Team layak kepusingan kedua.

Pahang lwn Felda United
Pahang telah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan selepas episod hitam musim lepas yang menyaksikan mereka terjerumus ke saingan Liga Premier. Azamudin Mat Akil dijangka akan memainkan peranan penting dalam misi mereka bagi menewaskan skuad Felda United. Evalarasan harus berasa bimbang jika prestasi tidak menentu mereka didalam Liga Super dijadikan ukuran, mereka bakal berdepan tersingkir diperingkat awal saingan piala FA, tambahan lagi jika menentang skuad berpengalaman seperti Pahang.
Ramalan : Pahang layak kepusingan kedua.

Penulis : Arieost Azzurie