Selepas dikejutkan dengan penamatan kontrak Peter Butler sebagai jurulatih pasukan Kelantan, Bojan Hodak Bojan Hodak yang asalnya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) , dilantik pula sebagai jurulatih pasukan dari pantai timur ini. Namun tugasan pertama Hodak agak mencabar juga, iaitu menentang pasukan juara Piala Malaysia 2011 serta juara Piala Sumbangsih 2012, N.Sembilan. Mampukah Hodak membuka langkah kanan bersama pasukan Kelantan? Persoalan yang hanya akan terjawab selepas pertarungan malam nanti.
Hodak, 41, yang mempunyai Lesen Kelas A Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah menjadi Ketua Jurulatih UPB My Team sekitar tahun 2006 hingga 2009, kelab Phnom Penh Crown FC di Cambodia (2010 hingga 2011) sebelum berkelana ke China pada tahun lalu. Hodak yang kali terakhir memegang jawatan selaku Penolong Jurulatih kelab Shandong Luneng Taishan FC di China dan membantu kelab tersebut muncul naib juara Piala FA.
Berbalik kepada pertemuan Kelantan menentang N.Sembilan, pertemuan ini pastinya akan berlangsung dalam keadaan yang sengit. Pada perlawanan Piala Sumbangsih lepas, pasukan Kelantan yang ketika itu dibawah bimbingan Butler tewas 1-2 kepada N.Sembilan. Namun ramai yang mendakwa Butler gagal menampilkan kesebelasan terbaik sebagai punca utama kekalahan tersebut. Hodak pasti akan menampilkan skuad yang lebih kuat berbanding ketika perlawanan Piala Sumbangsih lepas, namun harus diingat pasukan N.Sembilan juga akan turun dengan kesebelasan yang lebih berpengalaman dengan kehadiran pemain seperti Shukor, Idris, Qairul serta pemain import terbaru Marian Farbak.
Mampukah Hodak menceriakan penyokong Kelantan dengan membalas dendam diatas kekalahan pasukan mereka semasa Piala Sumbangsih? Ataupun kebijaksanaan Azraai Khor akan sekali lagi menghampakan pasukan Kelantan? Menarik untuk kita saksikan !!!
Penulis : Arieost Azzurie