Nampaknya selepas ranking terbaru FIFA bagi bulan April 2012 dikeluarkan pada 11hb lepas, ramai peminat bolasepak tempatan yang tidak berpuas hati kerana ini adalah kedudukan terendah semenjak Malaysia menjuarai Piala AFF pada Disember 2010. Dipage Bolasepak Malaysia, rata-rata ramai yang menghentam disebabkan terdapat status yang mengatakan mengejar ranking itu tidak berapa penting. Untuk itu penulis ingin menjelaskan kepada penyokong bolasepak tempatan sekalian, bahawa kami dipage Bolasepak Malaysia mengamalkan dasar demokrasi. Setiap admin bebas memberikan pendapat asalkan ia tidak menyalahi undang-undang negara(bukan undang-undang Fam). Oleh itu jika ada perbezaan pendapat kita boleh berbincang secara ilmiah, dan bukannya dengan memaki atau menghina orang yang tidak sependapat dengan kita. Penulis juga kurang bersetuju dengan status terbabit, dan ini adalah pendapat peribadi penulis berkaitan ranking bolasepak negara kita. Sebelum penulis membuat ulasan berkaitan betapa pentingnya ranking ini untuk kemajuan bolasepak negara, mari kita lihat kedudukan ranking Malaysia semenjak Januari 2011 iaitu selepas negara kita muncul juara Piala AFF.
Ranking Malaysia semenjak menjadi Juara Piala AFF 2010
Januari 2011 – 142
Februari 2011 – 140
Mac 2011 – 138
April 2011 – 144
Mei 2011 – 143
Jun 2011 – 144
Julai 2011 – 145
Ogos 2011 – 146
September 2011 – 147
Oktober 2011 – 151
November 2011 – 155
Disember 2011 – 148
Januari 2012 – 148
Februari 2012 – 150
Mac 2012 – 152
April 2012 - 156
Dan seterusnya kita lihat pula pencapaian skuad kebangsaan didalam perlawanan persahabatan antarabangsa ketika menentang pasukan kelab atau negeri. Mungkin ada pihak yang tidak sedar bahawa ranking dan prestasi saling berkait rapat. Jika ranking sesuatu pasukan itu terus menjunam walaupun telah melalui beberapa perlawanan antarabangsa yang boleh memberikan mata ranking, pasukan tersebut sebenarnya telah melalui satu penurunan prestasi.
09.02.11 Hong Kong 0 – 2 Malaysia
26.03.11 Etoile Fc 1 – 1 Malaysia
03.06.11 Hong Kong 1 – 1 Malaysia
18.06.11 Malaysia 2 – 0 Myanmar
24.06.11 Malaysia 3 – 1 Harimau Muda
29.06.11 Malaysia 2 – 1 Taiwan
03.07.11 Taiwan 3 – 2 Malaysia
13.07.11 Malaysia 0 – 4 Arsenal
16.07.11 Malaysia 3 – 6 Liverpool
23.07.11 Singapura 5 – 3 Malaysia
28.07.11 Malaysia 1 – 1 Singapura
16.08.11 Selangor 1 – 0 Malaysia
07.10.11 Australia 5 – 0 Malaysia
08.11.11 N.Sembilan 0 – 2 Malaysia
13.11.11 India 1 – 1 Malaysia
16.11.11 India 3 – 2 Malaysia
01.02.12 Malaysia 5 – 0 Kelantan
24.02.12 Sabah 0 – 1 Malaysia
29.02.12 Filipina 1 – 1 Malaysia
24.03.12 Sarawak 1 – 1 Malaysia
Daripada 11 perlawanan antarabangsa berstatus A, skuad kebangsaan telah mencatatkan 3 kemenangan (kali terakhir menang adalah pada pertemuan menentang Taiwan pada 29.06.2011), 4 seri dan 4 kekalahan. Jaringan pula sebanyak 17 gol dan bolos sebanyak 21 gol.
Melihatkan kepada statistik ini, kebimbangan peminat bolasepak tempatan adalah berasas. Kemerosotan jelas terserlah semenjak Malaysia menjadi juara Piala AFF 2010. Mujur skuad B23 negara dibawah bimbingan Ong Kim Swee mampu menjadi juara Sukan SEA 2011, sekaligus berjaya menutup prestasi tidak menentu skuad kebangsaan dibawah bimbingan Rajagobal.
Jika Datuk Rajagobal masih lagi dibuai mimpi indah disebalik kejayaannya pada kejohanan Piala AFF 2010, skuad kebangsaan yang dibimbingnya bakal menghadapi malapetaka pada kejohanan Piala AFF 2012 nanti. Saingan kali ini tentunya lebih sukar kerana lawan tentunya akan memberikan lebih perhatian terhadap pasukan Malaysia. Penyokong bolasepak tempatan sudah pasti tidak akan dapat menerima alasan jika gagal didalam saingan Piala AFF 2012 kerana misi utama untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015. (Alasan yang digunakan semasa kegagalan melayakkan diri kepusingan akhir kelayakan Piala Dunia Zon Asia).
Selain itu ranking juga adalah platform untuk pemain negara ini beraksi di liga antarabangsa yang lebih mencabar . Malah didalam buku manual Liga Malaysia didalam klausa 5.3 ada menyebut pemain import yang beraksi didalam saingan Liga Malaysia 2012 perlulah dari negara yang rankingnya lebih tinggi dari Malaysia iaitu ianya dinilai pada ranking bulan Ogos 2011. Jika Fam sendiri mahu pemain import yang rankingnya lebih tinggi bagaimana pula mereka menafikan ranking itu tidak penting?
Fam tentunya sedar mereka agak sukar untuk mendapatkan lawan yang berkualiti disebabkan ranking Malaysia pada ketika ini. Jika Vietnam boleh tersenarai dalam senarai 100 pasukan terbaik dunia kenapa tidak Malaysia? Walaupun Vietnam tidak memenangi apa-apa kejohanan pada ketika ini, tetapi mereka mempunyai asas untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang.
Akhir kata tidak rugi jika kita mengambil teguran itu sebagai sesuatu yang positif. Teguran peminat adalah untuk kemajuan bolasepak Malaysia. Sekian
Penulis : Arieost Azzurie