Pages

Wednesday, 8 May 2013

PBNS Harus Singkir Alves!!


N.Sembilan bakal beraksi di Liga Premier musim hadapan seandainya tiada “langkah menyelamat” dilakukan PBNS. Apa istimewanya Alves dimata PBNS? Adalah amat mengejutkan PBNS masih mampu bersabar dengan rekod 15 perlawanan tanpa kemenangan skuad kendalian Divaldo Alves dalam saingan Liga Super musim ini. Sedangan pada musim 2011, PBNS telah menyingkirkan Wan Jamak hanya selepas 7 perlawanan Liga Super.
“Langkah Menyelamat” yang dimaksudkan ialah dengan menyingkirkan individu yang terlibat secara langsung didalam latihan, pemilihan pemain serta taktikal pasukan, Divaldo Alves. Pada permulaan musim Alves agak cenderung menggunakan formasi secara defensif 4-2-3-1. Ia ternyata agak berkesan ketika bertahan namun memberikan kesan negatif dalam aspek serangan.  Ternyata Alves gagal mencatur taktikal terbaik walaupun beliau telah menyedari taktikal yang diterapkannya gagal menjelmakan kejayaan buat pasukan. De Porras menjadi kambing hitam diatas kegagalan barisan serangan N.Sembilan musim ini, sedangkan Alves lah yang membawa penyerang tersebut ke sini. Dalam pusingan kedua Liga Super barulah Alves dilihat menukar kepada formasi 4-4-2, satu langkah yang sepatutnya diambil lebih awal.
Tempoh untuk mendapatkan pemain baru telah disia-siakan bagi mendapatkan pemain tempatan yang berkualiti. Hanya Fadhil Hashim yang berjaya ditandatangani bagi mengantikan Azmeer Yusof. Alves sepatutnya mengambil peluang ini dengan mendapatkan pemain baru bagi menampung kelompangan yang ada dalam pasukan terutamanya dibahagian midfield. Ini kerana punca utama kegagalan skuad N.Sembilan meraih sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super hingga setakat ini adalah kerana ketumpulan di jentera serangan serta ketiadaan “jeneral” di tengah padang bagi mengatur perlawanan. Alves ternyata ketandusan idea bagi mengatasi masalah ini. Taktikal yang diterapkan oleh Alves gagal untuk menghasilkan keputusan yang positif. Bayangkan jumlah jaringan yang dihasilkan oleh pasukan N.Sembilan 7 gol hingga setakat ini adalah kurang daripada separuh jumlah gol yang dijaringkan oleh Marlon Alex James. Fabio Leandro Barbossa yang menggantikan De Porras kelihatan agak berbisa tetapi kerana kegagalan barisan tengah memberikan sokongan ketika menyerang, kemampuannya sebagai penyerang gagal dimanipulasikan sepenuhnya.
Suka atau tidak PBNS harus menerima hakikat mereka perlu mendapatkan pengganti kepada Alves sebelum keadaan menjadi bertambah parah. Untuk jalan selamat pilihlah jurulatih tempatan yang berwibawa. Ketika ini kepakaran jurulatih tempatan amat penting kerana jika jurulatih import yang diambil, akan timbul masalah untuk jurulatih terbabit mengenali karektor serta potensi pemain dalam waktu terdekat. Jesteru itu pengalaman jurulatih seperti Wan Jamak Wan Hassan, Norizan Bakar ataupun M.Karathu boleh ditagih sebagai individu yang sesuai mengantikan tempat Alves. Sekiranya pasukan N.Sembilan terjerumus ke saingan Liga Premier musim hadapan, ruang untuk kembali bangkit tentu sukar kerana sudah pasti pemain-pemain terbaik skuad N.Sembilan akan dipancing pasukan lain terutamanya yang bermain di Liga Super. Semoga PBNS dapat melakukan sesuatu bagi menjamin skuad N.Sembilan terus bersaing dalam saingan tertinggi negara. Kepada PBNS, carilah individu yang lebih berkelayakan membimbing skuad N.Sembilan kerana Divaldo Alves sudah terbukti GAGAL.